
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata dua kes di lokasi sama itu membabitkan suspek dan mangsa berbeza.
“Tiada kaitan langsung walaupun berlaku di hospital sama, tapi mangsanya berbeza.
“Untuk kes kematian doktor pelatih wanita itu, perkembangannya masih dalam siasatan dan setakat ini kes kekal diklasifikasikan mati mengejut,” katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Op Selamat 26/2026 peringkat kontinjen Kelantan di Tunjong, Kota Bharu.
Sebelum ini, lebih 10 individu dirakam keterangan selepas seorang doktor pelatih wanita 29 tahun dilaporkan ditemui mati di sebuah bilik asrama hospital pada 9.55 pagi 6 Mac lalu.
Terdahulu, seorang doktor pelatih didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada 11 Feb lalu atas dua pertuduhan gangguan seksual terhadap seorang wanita dan memiliki gambar lucah.
Tertuduh berusia 26 tahun itu didakwa hendak mengaibkan kehormatan dengan merakam seorang wanita sedang mandi dalam bilik mandi aras 2 Hospital Sultan Ismail Petra pada 6.30 pagi 13 Sept 2025.