
Walaupun menyokong cadangan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad agar cukai gula dinaikkan kepada 20%, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, hasil RM330 juta yang dijangka akan menjadi sia-sia jika gula kekal sebagai barangan diwartakan bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Azrul Khalib berkata, kerajaan membayar subsidi kepada pengilang gula, dengan kadar RM1 sekilogram, sekitar RM500 juta hingga RM600 juta setiap tahun.
Subsidi ini memansuhkan sebarang hasil semasa atau berpotensi diperoleh daripada kenaikan cukai SSB, katanya dalam kenyataan.
Dalam jawapan bertulis Dewan Negara semalam, Dzulkefly menggariskan empat keutamaan utama kerajaan, termasuk menaikkan cukai ke atas minuman bergula kepada 20% harga runcit, seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pada Julai 2019, kerajaan mengenakan duti eksais 40 sen seliter ke atas minuman manis yang mengandungi lebih 5g gula atau mana-mana pemanis berasaskan gula bagi setiap 100ml.
Sementara itu, gula termasuk sebagai barangan kawalan, dengan harganya dihadkan pada RM2.85 sekilogram untuk gula kasar dan RM2.95 sekilogram untuk gula halus.
Azrul berkata, harga gula yang rendah secara buatan boleh menyebabkan peningkatan penggunaan gula, menyumbang kepada penularan kencing manis dan penyakit tidak berjangkit lain.
Beliau menegaskan, langkah meningkatkan cukai SSB sebaliknya boleh mengurangkan penggunaan gula dan hasilnya, membantu mengurangkan isu kesihatan.
Sehubungan itu, Azrul berkata, subsidi dan cukai kerajaan ke atas gula memansuhkan keberkesanan satu sama lain.
“Kerajaan mana meletakkan kawalan harga ke atas gula, memberikan subsidi dan insentif kepada pengeluar gula untuk membantu memulihkan kos mereka, kemudian mengenakan pula cukai gula?
“Adakah ini masuk akal?” soalnya.