
Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois, berkata tindakan itu ‘sangat salah’ dan kumpulan agama harus beretika dalam menyebarkan agama masing-masing.
“Anda tidak boleh melakukan perkara seperti yang anda lihat ini,” kata Presiden Tan Hoe Chieow kepada FMT, merujuk video tersebut.
“Menawarkan kursus Injil percuma di hadapan surau adalah satu pelanggaran etika yang serius.”
Video berdurasi 16 saat yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan individu duduk atau berdiri berhampiran troli buku dengan satu poster ‘Free Bible Courses’ di hadapan sebuah surau.
Tan meluahkan kebimbangan individu terlibat mungkin daripada kumpulan menyimpang dan meminta bantuan komuniti Kristian mengenal pasti mereka.
“Saya tidak fikir mereka dari mana-mana gereja (di Malaysia) kerana tiada gereja setakat yang kami tahu akan melakukan perkara seperti ini,” katanya memaklumkan badan agama di negara ini sedar mengenai etika dalam penyebaran agama.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk menganut dan mengamalkan apa-apa agama, adalah dilarang untuk menyebarkan agama lain kepada orang Islam.
Tan berkata, insiden seperti itu tidak seharusnya berulang dan menggalakkan jawatankuasa surau ‘mengusir kumpulan itu’ jika mereka kembali lagi.
Beliau juga meminta jawatankuasa surau membuat laporan polis.
“Jika melanggar undang-undang, mereka harus didakwa supaya insiden sebegini tidak berlaku lagi dan menjadi satu bentuk pencegahan,” katanya.