KP Laut didakwa perdaya pendahulu

KP Laut didakwa perdaya pendahulu

Halim Ahmed didakwa memberikan surat palsu dikatakan daripada menteri pengangkutan ketika itu kepada ketua pengarah terdahulu.

halim ahmed
Halim Ahmed didakwa melakukan kesalahan itu di ibu pejabat Jabatan Laut di Pelabuhan Klang pada 27 Okt 2020.
SHAH ALAM:
Ketua Pengarah Laut, Halim Ahmed didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memperdaya pendahulunya empat tahun lalu.

Pertuduhan terhadap Halim, 57, dibacakan di depan Hakim Anita Harun.

Halim, yang ketika itu setiausaha di Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan, didakwa memperdaya Ketua Pengarah Laut ketika itu, Baharin Abdul Hamid dengan mengeluarkan surat dikatakan daripada Kementerian Pengangkutan.

Surat bertarikh 27 Okt 2020 itu didakwa menyatakan menteri pengangkutan ketika itu memutuskan tempoh syarikat perkapalan yang diberikan pengecualian menghantar minyak gred berat di perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh diluluskan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tiada kelulusan sedemikian diberikan menteri.

Surat itu didakwa mendorong Baharin mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat perkapalan berkaitan, yang tidak akan dilakukannya jika beliau tidak diperdaya tertuduh.

Insiden itu didakwa berlaku di ibu pejabat Jabatan Laut di Pelabuhan Klang pada 27 Okt 2020.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Selangor sebulan sekali.

Hakim turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 7 Okt ini.

Tertuduh diwakili peguam Farhan Read, manakala Feisal Azmi dan Muaz Khairuddin mewakili pasukan pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.