
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berkata Pelabuhan Klang berada di tangga ke-10, mengatasi Hong Kong sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa maritim utama di rantau ini.
“Lonjakan ke tangga ke-10 melengkapkan rekod peningkatan berterusan Pelabuhan Klang sejak beberapa tahun lalu – dari tangga ke-13 (2022), ke-11 (2023) dan kini ke-10 (2025).
“Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kapasiti, fasiliti dan keupayaan pelabuhan bagi memenuhi permintaan perdagangan global,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kementerian itu, pada 2024 Pelabuhan Klang merekodkan pengendalian kontena sebanyak 14.64 juta TEU, meningkat 4.1% berbanding 14.06 juta TEU pada tahun sebelumnya.
Jelasya, pertumbuhan itu dipacu peningkatan 8.9% dalam import dan eksport.
“Walaupun berdepan cabaran global seperti krisis Laut Merah, Pelabuhan Klang kekal berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan aliran perdagangan antarabangsa.
“Berdasarkan momentum ini, throughput dijangka mencecah 14.98 juta TEU pada 2025, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Pelabuhan Klang dalam kalangan hab maritim utama dunia,” katanya.
MOT menambah, pencapaian itu hasil pelaburan strategik termasuk pengembangan terminal Westports (CT10–CT17), naik taraf fasiliti Northport, serta projek mega Pulau Carey yang dijangka mampu meningkatkan kapasiti sehingga 30 juta TEU menjelang 2060.
Selain itu, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mengekalkan kedudukan ke-15 dunia selepas mencatat throughput 12.25 juta TEU pada 2024, peningkatan 16.9% berbanding tahun sebelumnya.
“Kombinasi kekuatan Pelabuhan Klang dan PTP menjadikan Malaysia negara kelima terbesar dunia dari segi jumlah pengendalian kontena pada 2024, sekali gus memperkukuh peranan strategik negara di sepanjang Selat Melaka, laluan pelayaran paling sibuk di dunia,” katanya.