
Ibrahim berkata beliau ada menyerahkan surat bagi meminta penjelasan rasmi daripada Jailani ketika bertemu dengan wakil rakyat itu pada 19 Julai lalu.
“Bagaimanapun, sewaktu pertemuan itu, dia (Jailani) tak bawa surat (rasmi) apa-apa.
“Saya beri masa dua minggu dari 19 Julai lalu hingga Jumaat ini untuk beliau beri penjelasan. Sehingga hari ini saya belum terima surat penjelasan dari Jailani,” katanya kepada FMT.
Ibrahim berkata dalam pertemuan itu Jailani tidak memberi sebarang jawapan sebaliknya meminta beliau menghubungi Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bagi mendapatkan penjelasan.
“Dia (Jailani) minta saya hubungi setiausaha agung PAS tetapi saya kata tak ada kena mengena dengan saya.
“Kalau jawab surat (itu), baru saya boleh buat keputusan untuk letak beliau di kerusi pembangkang atau kerajaan,” katanya.
Kata Ibrahim, beliau akan membuat keputusan berhubung kedudukan Jailani selepas beliau pulang dari Australia pada 8 Ogos nanti.
“Saya harap beliau akan balas surat saya,” katanya.
PAS pada satu sidang media di Parlimen pada 16 Julai itu mengumumkan Jailani telah menyertai parti itu selepas diterima sebagai ahli pada Jun 2023.
Setakat 9 Sept tahun lalu media melaporkan Jailani sebagai ahli Umno, apabila lembaga disiplin parti mengesyorkan beliau digantung keahlian.
Jailani menyertai Umno pada Jun 2021 selepas meninggalkan PKR, dan mempertahankan kerusi DUN Rembia atas tiket Barisan Nasional pada PRN tahun sama.