3 pegawai Imigresen diarah bela diri kes seludup migran di KLIA

3 pegawai Imigresen diarah bela diri kes seludup migran di KLIA

Mahkamah Rayuan berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membebaskan tertuduh daripada tuduhan itu pada 2021.

Court of Appeal
Mahkamah Rayuan mengarahkan Maizatul Azwa Mohamad Nasib, 31, Hairulnizam Hasim, 42 dan Zamir Hazwan Hamid, 41, membela diri atas tuduhan tersebut di Mahkamah Tinggi.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengarahkan tiga pegawai Imigresen termasuk seorang wanita membela diri atas pertuduhan menyeludup sembilan migran Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Maizatul Azwa Mohamad Nasib, 31, Hairulnizam Hasim, 42 dan Zamir Hazwan Hamid, 41, daripada pertuduhan.

Zaidi berkata pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Beliau kemudian mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk ketiga-tiga tertuduh membela diri.

Zaidi, yang bersidang bersama-sama Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin, menetapkan 7 Ogos sebagai sebutan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.

Beliau berkata ini kerana hakim yang mendengar kes itu telah bersara.

Mahkamah Rayuan juga membebaskan ketiga-tiga tertuduh atas jaminan mulut RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu kes mereka disebut di Mahkamah Tinggi.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel itu, Zaidi berkata pertuduhan terhadap semua tertuduh tidak cacat.

Beliau berkata deposisi yang diperoleh daripada migran terbabit boleh diterima sebagai bukti kerana ia memenuhi keperluan Seksyen 61A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Zaidi juga berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mengguna pakai inferens advers di bawah Seksyen 114G Akta Keterangan 1950 terhadap pendakwaan kerana tidak memanggil enam penjaga migran untuk memberi keterangan.

Pada 27 Julai 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Yazid Mustafa membebaskan keempat-empat pegawai Imigresen yang berdepan pertuduhan menyeludup migran di KLIA antara 3 petang dan 10 malam 17 Julai 2017 dan antara 10 malam 18 Julai dan 8 pagi 19 Julai 2017.

Pendakwaan kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menolak rayuan terhadap Haleem Izman Hairuddin, 39, selepas pendakwaan gagal menyerahkan notis kepadanya.

Haleen Izman didakwa menyeludup dua migran warga Bangladesh.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari hadir bagi pihak pendakwaan manakala ketiga-tiga pegawai Imigresen diwakili peguam Rajpal Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.