
Baginda bertitah, sebagai contoh tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha, tetapi kini disewakan kepada warga asing.
“Demi hanya mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit, kita sanggup menggadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.
“Malah, lebih mendukacitakan lagi warga asing tersebut telah mengambil alih peranan sebagai ‘tauke’ yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel-kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan,” titahnya menurut Harian Metro.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, Kuantan.
Al-Sultan Abdullah juga memerintahkan kerajaan negeri memantau aktiviti tersebut dan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas.
“Tiada kompromi terhadap isu seperti ini daripada beta. Jangan sesekali gelap mata dengan wang ringgit dan kesenangan dunia yang sementara.
“Laksanakanlah amanah yang diberi ini dengan penuh integriti dan ingatlah! setiap kerja buat dan tanggungjawab kita akan dipersoalkan kelak,” titah baginda.