
Tiga panel hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Rahman Sebli, berkata dua persoalan undang-undang dikemukakan perayu bagi mendapatkan kebenaran berkenaan tidak mempunyai merit.
“Persoalan dikemuka gagal melepasi ambang mengikut Seksyen 89 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya.
Bagi mendapat kebenaran berkenaan, perayu mesti memuaskan hati mahkamah atasan bahawa cadangan rayuan mengandungi persoalan undang-undang novel atau persoalan Perlembagaan berkait kepentingan awam, yang dibangkitkan buat pertama kali.
Rahman, yang bersidang bersama Hakim Nordin Hassan dan Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, juga menganugerahkan Kok RM30,000 sebagai kos.
Peguam SN Nair dan Jadeen Phoon mewakili Kok, yang juga naib pengerusi DAP, manakala peguam Rejinder Singh mewakili Jamal.
Pada 27 Mac, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Jamal bertanggungjawab memfitnah dan mengarahkannya membayar Kok RM300,000 sebagai ganti rugi.
Kok memfailkan saman fitnah pada 2017 selepas Jamal menuduhnya menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor di bawah Skim Mesra Usia Emas, inisiatif kerajaan negeri.
Dalam penghakiman dua tahun lalu, Hakim perbicaraan, Arief Emran Arifin berkata, kenyataan Jamal pada sidang media 8 Mac 2017, bertujuan menyerang personaliti Kok dan kapasiti profesionalnya sebagai Ahli Parlimen.
Dalam samannya, Kok berhujah kenyataan Jamal memberi gambaran beliau menyalahgunakan dana negeri dan tidak beretika.
Dalam pada itu, Nair ketika memberitahu pemberita berkata Jamal telah mematuhi perintah Mahkamah Rayuan dengan membayar jumlah penghakiman pada 14 April.