
Sebelum ini, Bersatu dilaporkan mahu mendenda jika wakilnya dicalonkan mewakili Perikatan Nasional (PN) mengikut jejak penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim mengalihkan sokongan kepada kerajaan perpaduan, selepas menang PRK 17 Ogos depan.
Zaharul Abdullah dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata Bersatu perlu menekankan aspek kesetiaan dan komitmen calon terhadap agenda perjuangan parti serta keupayaan berkhidmat kepada rakyat.
“Ia boleh beri gambaran negatif kepada rakyat bahawa Bersatu tidak berupaya mengawal dan memastikan wakil rakyat mematuhinya,” katanya kepada FMT.
Namun Zaharul berpendapat jaminan Bersatu itu boleh meyakinkan pengundi sekali gus mengagalkan usaha Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani untuk merampas semula kerusi pernah menjadi kubu kuatnya.
“Saya juga percaya kemarahan pengundi sebelum ini lebih kepada bekas wakil rakyat membelot Bersatu, pengundi faham situasi ini,” katanya.
Minggu lalu, FMT melaporkan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata calonnya yang mewakili PN boleh didenda dan dikenakan tindakan undang-undang jika mengalihkan sokongan kepada parti lain selepas menang PRK Nenggiri.
Menurutnya, tindakan itu membuktikan jaminan kepada pengundi bahawa calon Bersatu mewakili PN tidak akan mengkhianati mandat diberikan pengundi kepadanya.
Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan usaha Bersatu menggunakan undang-undang dan denda dalam ‘mengikat’ rakyatnya satu usaha baik.
Bagaimanapun, jelasnya tindakan itu bukan jaminan peralihan sokongan kepada parti tidak akan berulang.
“Sebagai contoh Adun Rembia (Muhammad Jailani Khamis) tetap tinggalkan Umno dan sertai PAS di sebalik ada perjanjian beliau perlu bayar RM100 juta jika menyokong atau menyertai parti lain.
“Jadi tindakan Bersatu itu bukan satu jaminan meyakinkan,” katanya.