Polis mohon sambung reman suspek culik Albertine Leo

Polis mohon sambung reman suspek culik Albertine Leo

Suspek lelaki itu ditangkap bersama mangsa berusia enam tahun di sebuah hotel murah di Batang Kali minggu lalu.

M Kumar
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata sambungan reman dimohon selama tujuh hari hingga 5 Ogos. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis akan memohon sambungan reman terhadap suspek lelaki disyaki menculik Albertine Leo Jia Hui, 6, di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri, yang tamat reman hari ini.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata sambungan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap lelaki tempatan 31 tahun itu yang ditangkap bersama mangsa di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor.

“Sambungan reman dimohon selama tujuh hari mulai esok hingga 5 Ogos ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap lelaki tempatan yang ditangkap berhubung kejadian culik kanak-kanak berkenaan di kawasan Eco Galleria pada 20 Julai lepas.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan ke talian polis Johor 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999.

Kanak-kanak itu disedari hilang oleh bapanya pada 8.30 malam 20 Julai lalu di sebuah pusat beli-belah.

Susulan itu, polis menahan dua lelaki dan dua wanita berumur 28 hingga 55 tahun, sebelum keempat-empatnya dibebaskan dengan jaminan polis Jumaat lalu.

Kanak-kanak itu ditemui selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali pada 4.45 pagi 23 Julai lalu dan polis turut menahan seorang lelaki yang bersama mangsa.

Pada 25 Julai lalu, keluarga kanak-kanak itu dilaporkan tiada sebarang hubungan dengan kelima-lima suspek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.