PM seru libat urus elak Islamofobia

PM seru libat urus elak Islamofobia

Anwar Ibrahim berkata sesi libat urus diperlukan untuk membolehkan orang lain memahami Islam.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) ke-7, Berdiri Bersama: Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat. (Gambar Bernama)
IPOH:
Sesi libat urus antara umat Islam dan yang lain perlu diadakan bagi membolehkan masyarakat memahami antara satu sama lain dan mengelakkan salah faham yang membawa kepada Islamofobia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, zaman pasca penjajahan Barat masih mengekalkan ajaran lama mereka, maka salah faham, maklumat salah dan penolakan kepada yang lain, yang kemudian diistilahkan sebagai Islamofobia.

“Bagaimana anda bertahan dan hidup dalam masyarakat berbilang kaum, berbilang agama di Malaysia dan mengelak membincangkan agama, budaya, tamadun lain…dan kemudian menuntut supaya Barat memahami kita.

“Jadi saya fikir sesi libat urus diperlukan untuk membolehkan orang lain memahami kita, dan untuk kita memahami mereka,” katanya ketika berucap pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) ke-7, Berdiri Bersama: Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat.

Perasmian persidangan itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Sementara itu, perdana menteri menggesa umat Islam memahami konsep ladzatul ma’rifah yang membawa maksud perkongsian ilmu, pembelajaran dan keilmuan.

“Anda mahu mendapatkan yang terbaik untuk memahami dan menghayati, sebagaimana kita telah memahami perintah al-Quran, menggunakan istilah yang sangat relevan dan terminologi berkaitan, bukan sahaja toleransi, tetapi lita’arafu. Iaitu belajar dari satu sama lain, memahami satu sama lain, menerima perbezaan.

“Pandangan saya ialah kita mesti mempunyai keberanian dan keyakinan untuk meneruskan wacana, semangat ladzatul ma’rifah, untuk memahami, menghayati dan menyedari bahawa ini keperluan untuk mencapai bukan sahaja keamanan dan kemakmuran malah kelestarian melalui wacana pemikiran,” katanya.

WCIT adalah program anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) sejak 2012, disertai peserta dari lebih 21 negara.

Persidangan tiga hari bermula hari ini, bertujuan menyediakan platform dan saluran untuk pemimpin serantau dan antarabangsa, cendekiawan, intelektual, profesional serta orang ramai menyuarakan pandangan mereka dalam pertukaran idea yang dinamik bagi menangani masalah kontemporari sebenar yang mempengaruhi dunia masa kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.