Penjara 13 tahun, 2 sebatan rogol kenalan Adun

Penjara 13 tahun, 2 sebatan rogol kenalan Adun

Hakim Nor Hasniah Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zulfahimin Mahdzir, 40, pada 31 Mei lalu.

Menurut Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Nor Hasniah Abdul Razak, mahkamah mendapati keterangan pembelaan tertuduh bahawa dia tidak merogol mangsa bersifat penafian semata-mata.
PETALING JAYA:
Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu atas tuduhan pindaan merogol kenalan seorang Adun empat tahun lepas.

Hakim Nor Hasniah Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zulfahimin Mahdzir, 40, selepas mendapati pasukan pendakwaan berjaya membuktikan prima facie.

Sinar Harian melaporkan, memetik keputusan penghakiman dimuat naik Khamis lalu, Nor Hasniah berkata, mahkamah memutuskan pembelaan tertuduh tidak bermerit.

“Mahkamah ini berpendapat pembelaan gagal mengemukakan penjelasan untuk menyangkal keterangan saksi pendakwaan, yang jelas menyatakan mangsa mabuk pada malam kejadian.

“Semasa pemeriksaan balas, tertuduh juga mengakui mangsa tidak pernah mengatakan ingin bersetubuh dengannya,” katanya.

Nor Hasniah berkata, tindakan mangsa mengajak tertuduh menemaninya pada malam kejadian tidak boleh secara automatik dikatakan wanita itu rela melakukan hubungan seks dengan tertuduh.

Katanya, mahkamah mendapati keterangan pembelaan tertuduh bahawa dia tidak merogol mangsa bersifat penafian semata-mata.

Mahkamah berpendapat kesalahan dilakukan ialah serius dan keji kerana Zulfahimin mengambil kesempatan merogol ketika mangsa mabuk dan hukuman dijatuhkan memberi amaran tegas kepada masyarakat supaya kesalahan sebegini tidak berleluasa.

Mengikut kes pendakwaan, mangsa memberitahu dijemput oleh Adun Gombak Setia Muhammad Hilman Idham untuk sambutan ulang tahun kelahirannya di sebuah restoran di hotel bersama tertuduh dan beberapa lagi rakan lain.

Selepas makan malam, mereka beredar ke pusat karaoke, namun setelah melihat mangsa mabuk, tertuduh mencadangkan satu bilik hotel ditempah untuknya. Hilman kemudian memapah mangsa ke bilik bersama tertuduh dan tiga lagi individu.

Setelah terjaga pada 4.30 pagi 5 Dis 2020, mangsa menyedari berada dalam keadaan bogel lalu membuat laporan polis.

Mengikut pertuduhan pindaan, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol seorang wanita berusia 35 tahun di sebuah bilik hotel di Sri Hartamas antara 1 hingga 3 pagi, 5 Dis 2020.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.