
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khairil Nizam Khirudin berkata pendekatan itu terkandung dalam Program Pemerkasaan dan Transformasi Parti yang dibangunkan untuk menambah baik imej parti bukannya seperti digambarkan ramai.
Menurutnya, program itu sebahagian Wawasan Induk Negara Sejahtera iaitu model baharu dicetuskan PAS sebagai panduan untuk mentadbir berdasarkan prinsip Islam dalam realiti moden bagi membina negara sejahtera menjelang 2051.
“Selain perbahasan di Parlimen, PAS juga membawa isu konstruktif dengan sentiasa buka peluang perbincangan bersama ahli akademik dan NGO menerusi sidang meja bulat.

“Bagi menarik minat dan sokongan bukan Islam, PAS menanganinya bersama-sama rakan sekutunya iaitu Bersatu dan Gerakan melalui pendekatan keadilan Islam dan Perlembagaan Negara,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim supaya PAS mengubah imej parti dengan menawarkan ‘naratif dasar boleh dipercayai dan substantif’ untuk mendapatkan sokongan daripada semua rakyat.
Zaid berkata PAS mempunyai potensi memimpin negara namun ketika ini tidak menunjukkan minat untuk mendapatkan sokongan bukan Islam dalam menangani isu-isu kontemporari dan ramai orang masih ketakutan tentang cara mereka akan mentadbir negara.
Oktober tahun lalu, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut membangkitkan keperluan PAS membuktikan kemampuannya mentadbir selain mendakwa parti itu kurang terdedah di peringkat antarabangsa.
Khairy juga menasihatkan PAS keluar dari bawah tempurung state government four (SG4) untuk membuktikan kemampuan parti itu mentadbir pada masa depan.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), N Balasubramaniam pula berkata parti itu bersifat terbuka dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak untuk bersama-sama dalam ‘perjuangan’ PAS.
“Kami dalam DHPP sudah hampir 20 tahun bersama PAS dan kian hari makin ramai menyertai kami untuk bersama Pas,” katanya.
Menurutnya, tiada masalah untuk parti itu menjalin kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC yang telah berlaku ketika pemerintahan kerajaan campuran dari 2020 hingga 2022.
“PAS juga menunjukkan keterbukaan mereka untuk bersama parti politik bukan Melayu seperti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dengan menerima mereka dalam gabungan Perikatan Nasional,” katanya.