Peruntukan baharu kuat kuasa ‘kill switch’ media sosial dibentang Oktober

Peruntukan baharu kuat kuasa ‘kill switch’ media sosial dibentang Oktober

Undang-undang itu antara lainnya akan mempertanggungjawabkan penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet, kata Azalina Othman Said.

azalina
Azalina Othman Said berkata, perundangan baharu itu akan mendorong penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memainkan peranan dalam menangani jenayah dalam talian. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Satu perundangan baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati (kill switch) secara terperinci dan jelas akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, undang-undang itu antara lainnya akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan penyedia perkhidmatan pesanan Internet.

Hal itu agar mereka memainkan peranan dalam menangani jenayah dalam talian seperti kes penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual.

Selain itu, katanya, Persidangan Perundangan Antarabangsa berhubung Ancaman Dalam Talian 2024 akan dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM pada 5 dan 6 Sept, dengan kerjasama Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Persidangan itu dianjurkan susulan peruntukan pelesenan perkhidmatan media sosial akan dikuatkuasakan 1 Jan depan selepas kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenalkan pada 1 Ogos ini.

Azalina berkata, sidang itu akan dihadiri pakar dan pejuang akauntabiliti dan tatakelola media sosial terkemuka antarabangsa seperti Frances Haugen dan Dr Taylor Owen yang akan membincangkan isu-isu berkenaan ancaman dalam talian seperti keselamatan kanak-kanak, jenayah siber dan isu kawal selia media sosial terutama dengan kepesatan teknologi kecerdasan buatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.