
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan hasrat Malaysia menyertai organisasi BRICS itu inti pati utama perbincangan Anwar dengan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov, yang melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana hari ini.
“Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi (BRICS) kepada Rusia selaku pengerusi BRICS, selain menyatakan keterbukaan untuk menyertainya sebagai negara anggota atau rakan strategik,” menurut kenyataan itu.
Pada 18 Jun, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.
BRICS yang merangkumi Brazil, Rusia, India, dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi dan sedang pesat membangun. Afrika Selatan kemudian menyertai blok itu pada 2010.
BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40% penduduk dunia.
Terdahulu, ketibaan Lavrov dan delegasi pada pukul 10 pagi di Kompleks Seri Perdana disambut Menteri Luar Mohamad Hasan. Turut hadir, Menteri Pertahanan Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir.
Dalam pertemuan itu hampir sejam itu, Anwar dan Lavrov juga membincangkan usaha perkukuh hubungan Malaysia-Rusia serta memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor meliputi perdagangan, pelaburan, keselamatan, pertahanan, pendidikan tinggi, sains dan teknologi, pelancongan, dan kebudayaan.
Turut dibincangkan ialah situasi semasa di Palestin termasuk penegasan Malaysia mengenai keperluan mendesak untuk gencatan senjata kekal dan bantuan kemanusiaan pantas di Gaza serta Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu mengenai Ukraine, Anwar turut menyeru agar dialog dan perbincangan menjadi jalan keluar kepada konflik tersebut.
Rusia sambut baik hasrat Malaysia
Dalam pada itu, Rusia mengalu-alukan minat Malaysia terhadap BRICS dan akan membantu untuk mempromosikan minat itu, kata Sergey.
“Malaysia telah menyatakan minat untuk mengukuhkan hubungan dengan BRICS.
“Kami secara aktif menyokong minat ini dan selaku pengerusi akan membantu mempromosikan minat ini,” kata menteri itu pada sidang media selepas lawatannya ke Malaysia, menurut laporan Sputnik.