Bomba bimbang pembakaran terbuka di Sarawak

Bomba bimbang pembakaran terbuka di Sarawak

Kebanyakan kes berlaku kerana disengajakan sehingga api merebak dan gagal dikawal.

Pemangku Pengarah Bomba Sarawak Tiong Ling Hii, berkata 68 kes pembakaran dilapor melibatkan keluasan lebih 59 hektar sepanjang tempoh enam hari lalu. (Gambar Facebook)
SIBU:
Trend pembakaran terbuka di Sarawak sejak Isnin lalu sangat membimbangkan apabila jumlah kes mencatatkan peningkatan mendadak semalam.

Pemangku Pengarah Bomba Sarawak Tiong Ling Hii, berkata 68 kes dilaporkan melibatkan keluasan lebih 59 hektar sepanjang tempoh enam hari berkenaan.

Beliau berkata, bagi kebanyakan kes, kebakaran disengajakan bukan sahaja untuk pertanian malah bagi tujuan pembakaran sisa kayu, kertas atau sampah, dan gagal dikawal apabila api merebak.

“Trend pembakaran terbuka menunjukkan peningkatan mendadak dan jumlah kes pembakaran tertinggi dicatatkan pada hari Sabtu (27 Julai) iaitu peningkatan sebanyak 87%.

“Kalau melihat kepada trend yang berlaku menunjukkan peningkatan dalam aktiviti pembakaran terbuka setiap hari dan keadaan semalam, sebanyak 28 kes kebakaran terbuka merupakan yang tertinggi dan sangat membimbangkan berbanding hari sebelumnya 15 kes sahaja,” katanya kepada Bernama.

Tiong berkata, kes seumpama itu dapat dielak sekiranya orang awam bersama-sama menghentikan segala bentuk aktiviti pembakaran terbuka sepanjang musim cuaca panas dan kering ketika ini.

“Bomba akan meningkatkan kerjasama dengan JAS (Jabatan Alam Sekitar) dan NREB (Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak) dengan mengadakan kempen elakkan pembakaran terbuka melalui hebahan media dan advokasi ke lapangan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan rondaan termasuk bersama 58 Pasukan Bomba Sukarela seluruh Sarawak supaya insiden pembakaran terbuka dapat ditangani dengan cepat.

Pihak bomba katanya akan turut mendekati masyarakat awam menerusi Pasukan Bomba Komuniti bagi menyampaikan nasihat mengenai akibat pembakaran terbuka ketika musim panas dan kering.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.