SPAN tubuh jawatankuasa siasat gangguan bekalan air

SPAN tubuh jawatankuasa siasat gangguan bekalan air

Jawatankuasa itu akan ditubuhkan segera dengan melibatkan pelbagai pihak dan agensi dalam proses pengumpulan data.

Baru-baru ini lebih sejuta pengguna di tujuh kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan air berpunca daripada pencemaran di Sungai Sembah dan Sungai Kundang, Selangor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengumpul maklumat dan meneliti pelbagai aspek berhubung insiden gangguan air berpunca daripada pencemaran, terbaharu di Sungai Sembah dan Sungai Kundang, Selangor.

Gangguan bekalan air tidak berjadual itu menjejaskan aktiviti harian lebih satu juta pengguna di tujuh kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur sejak 23 Jul hingga tengah malam tadi.

SPAN dalam kenyataan berkata jawatankuasa itu akan ditubuhkan segera dengan melibatkan pelbagai pihak dalam proses pengumpulan data.

“Pelbagai pihak dan agensi kerajaan akan dilibatkan secara langsung dalam proses pengumpulan data termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), badan pengurusan sumber air mentah negeri, pihak berkuasa tempatan serta operator perkhidmatan air di negeri berkaitan.

“Ia dijangka selesai dalam tempoh 45 hari dari sesi pertama berlangsung.

“Seterusnya ia akan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dijadikan tata amalan terbaik oleh semua pihak berkepentingan demi menjamin kelestarian bekalan air,” katanya.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan pencemaran bau di Sungai Selangor berpunca kebocoran bahan kimia dikenali Poly Metha Acrylic Acid (PMAA) daripada tangki penstoran oleh sebuah kilang memproses bahan akrilik di kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Rawang.

Mengulas insiden itu, SPAN berkata pihaknya telah membuka satu kertas siasatan pada 24 Jul ke atas suspek yang dikenal pasti.

“Siasatan ini dilakukan di bawah Seksyen 121(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi kesalahan mencemarkan atau menyebabkan supaya dicemarkan sistem bekalan air.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 atau didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.