
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran, mencadangkan peruntukan itu dimasukkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Merujuk gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor, Piarapakaran berkata denda antara RM200,000 hingga RM1 juta seolah-olah tidak menggerunkan dan memadai dikenakan terhadap pihak industri.
Hukuman itu termaktub bawah Seksyen 79(1) Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 yang digunakan untuk menyiasat sebuah syarikat pemprosesan plastik dan pepejal di Kuang, Gombak yang didakwa menjadi punca pencemaran di Sungai Sembah dan Sungai Kundang.

“Jika ini dilaksanakan (klausa pengguna boleh tuntut ganti rugi) dan enakmen Luas dibaca bersama Akta Industri Perkhidmatan Air Negara serta Akta Kualiti Alam Sekeliling, pesalah perlu bayar denda, kos pembersihan dan pampasan kerugian kepada semua terjejas.
“Sekarang bila berlaku pencemaran kos tambahan kecemasan ini mungkin turut dibiayai operator air yang berkemungkinan menjadi sebahagian tarif air kerana termasuk kos operasi,” katanya kepada FMT.
“Tetapi pencemar mungkin tidak bayar sepenuhnya…ini tidak adil kepada pengguna.”
Menurut Piarapakaran, pihaknya mencadangkannya kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Mudah untuk pihak terjejas dapat ganti rugi setimpal daripada pesalah,” tegasya.
Selasa lalu, lebih 1,000 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Rantau Panjang (LRA Rantau Panjang), Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).
Piarapakaran berkata, bahan Poly Methacrylic Acid (PMAA) yang dilaporkan media mencemarkan sumber air mempunyai kesan negatif tinggi dan sebarang kebocoran sepatutnya perlu ditangani pelan tindakan kecemasan.
“Perlu siasat garis masa kelulusan operasi syarikat ini serta pelan tindakan kecemasannya, sepatutnya ada saluran khas elaknya mengalir ke longkang atau saliran perparitan ketika kecemasan,” katanya.