Kestabilan peluang laksana polisi sukar tapi penting

Kestabilan peluang laksana polisi sukar tapi penting

Antara dasar tidak popular tetapi terpaksa dilaksanakan adalah kenaikan tarif elektrik dan rasionalisasi subsidi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan dasar tidak popular seperti kenaikan tarif elektrik dan rasionalisasi subsidi sebagai perlu untuk negara.
PETALING JAYA:
Kestabilan pada hari ini merupakan peluang untuk kerajaan melaksanakan polisi sukar tetapi penting untuk negara, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata negara tidak akan ke kedudukan lebih baik, jika kerajaan tidak laksana langkah-langkah rasional yang sukar.

“Kestabilan bukan untuk kita merasa selesa, tidak… kestabilan merupakan peluang bagi kita melaksanakan pembaharuan institusi malah untuk melaksanakan apa yang dikatakan dasar yang tidak popular tetapi penting bagi memastikan kejayaan negara kita.

“Tanpa melaksanakan langkah-langkah yang sukar kita tidak boleh berjaya, walaupun rasional dari segi ekonomi tetapi sukar dari segi politiknya,” katanya, ketika berucap di majlis makan malam anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) malam tadi.

Anwar berkata, antara dasar yang tidak popular tetapi terpaksa dilaksanakan kerajaan adalah kenaikan tarif elektrik dan rasionalisasi subsidi.

“Tetapi terpaksa dilakukan untuk selamatkan negara,” katanya.

Anwar yakin negara mempunyai keupayaan untuk berjaya kerana mempunyai sumber kekayaannya.

“Kita pernah hilang sedikit waktu, tetapi kita akan mampu melonjak dengan kadar pantas untuk memastikan kejayaan negara,” katanya.

Di majlis itu juga Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta disalurkan kepada NCCIM sebagai menghargai usaha persatuan yang banyak membantu kerajaan meningkatkan ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.