
Saarani Mohamad berkata penubuhan kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri berdasarkan sokongan majoriti ahli Parlimen atau Adun.
“Sebagai sebuah negara demokrasi, kita kena tunggu PRU untuk mendapatkan kerajaan baharu. Jadi, tak bolehlah kita nak melayan kehendak NGO. Asal NGO menjerit saja, nak ubah kerajaan. Kerajaan ditubuhkan berdasarkan bilangan ahli Parlimen dan Adun.
“Saya nak nasihatkan orang ramai, kita tak boleh membudayakan Malaysia ini dengan ubah kerajaan hanya kerana jeritan NGO, tak boleh. Kerajaan diubah atau ditubuhkan mesti berdasarkan PRU. Jadi, nak ubah tunggulah PRU,” katanya menurut Sinar Harian selepas program Townhall Wanita Perak di Ipoh.
Beliau mengulas Himpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ dijadual diadakan di depan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun di Ipoh, Sabtu ini.
Pada 29 Jun lalu, kira-kira 150 peserta berbaju hitam berhimpun di kawasan parkir pekarangan Kompleks Seri Perdana di Putrajaya bagi mengemukakan lapan tuntutan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Penganjur itu dilaporkan sedia mengadakan himpunan kedua di Parlimen Tambun, jika tiada respons Anwar terhadap lapan tuntutan mereka.