
Santiago berkata, ketika ini ramai meluahkan kemarahan di media sosial seperti mereka yang mempunyai keluarga besar dan ada peniaga terpaksa menutup premis manakala kilang tidak dapat beroperasi.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa pencemar sumber air di Sungai Sembah dan Sungai Kundang yang menyebabkan gangguan bekalan di tujuh wilayah di Lembah Klang hanya dikenakan kompaun RM1,000 dan lesen digantung tujuh hari oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Tegasnya, hukuman bawah Seksyen 11 Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 itu sebagai tidak memadai berbanding kesusahan dihadapi ramai orang.
“Saya tak faham, apakah proses dipertimbang untuk memberikan denda RM1,000 dan mengapa peruntukan undang-undang itu digunakan, MPS kena jelaskan.
“Ketika ini ramai marah di media sosial, ada yang ramai ahli keluarga hadapi masalah besar, kedai ditutup dan kilang tak boleh buat kerja,” katanya kepada FMT.
Ketika ini, proses pemulihan bekalan air dijalankan berperingkat oleh Air Selangor yang dijangka pulih sepenuhnya esok, selepas empat loji rawatan air (LRA) dihenti tugas, Selasa lalu kembali beroperasi.
LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas selepas pencemaran bau dikesan di Sungai Kundang dan Sungai Sembah susulan kebocoran tangki mengandungi bahan Poly Methacrylic Acid (PMAA) sebuah kilang plastik di Kuang.
Santiago turut mencadangkan pihak terbabit boleh disiasat bawah Seksyen 277 Kanun Keseksaan iaitu mengotorkan sesuatu kolam awam atau mata air, selain Seksyen 121 (kesalahan pencemaran air) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
Seksyen 121 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau maksimum 10 tahun penjara atau hukuman sebatan atau ketiga-tiganya jika disabitkan kesalahan.
Bekas Ahli Parlimen Klang tiga penggal itu turut menggesa siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar yang membolehkan pelaksanaan penguatkuasaan sesuai terhadap pihak terbabit.
“Apakah memang sengaja atau kecuaian, kalau di sisi undang-undang kalau kecuaian kita kena ada fakta…jadi kena siasat,” katanya.