
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Rizan Hassan, mencadangkan masalah itu diatasi dengan memanfaatkan faedah geran padanan kerajaan dan sumbangan peralatan daripada industri.
Katanya, penggunaan peralatan lama mungkin menyebabkan pelatih tidak memenuhi pasaran kerja yang kini pesat dengan penggunaan teknologi moden.
“Geran padanan menawarkan peluang berharga kepada institusi (TVET) untuk memperoleh peralatan terkini sambil berkongsi beban kewangan dengan kerajaan.
“Sumbangan peralatan daripada rakan kongsi industri juga membolehkan institusi sentiasa kekal di hadapan landskap yang berkembang pesat, serta meningkatkan kualiti program latihan dari semasa ke semasa,” katanya kepada FMT.
Rizan berkata, Malaysia juga perlu mencontohi program TVET di China dengan mengutamakan penggunaan peralatan dan teknologi terkini dalam membantu pelajar membiasakan diri dengan amalan industri sebenar.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sains Teknologi dan Inovasi Yunus Yasin berkata kerjasama institusi TVET dengan industri boleh membantu mengurangkan beban dalam soal perbelanjaan peralatan latihan.
“Mungkin boleh contohi Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) yang bekerja rapat dengan industri dalam penyediaan silibus dan peralatan.
“Ada juga peralatan disumbang industri dan terus memberi pekerjaan kepada pelajar selepas mereka habis belajar,” katanya.
Belanjawan 2024 memperuntukkan RM6.8 bilion bagi memperkasakan TVET antaranya RM100 juta bagi menyediakan pensijilan profesional diiktiraf industri dan RM1.6 bilion menyediakan 1.7 juta tawaran latihan.
Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM200 juta yang dijangka memanfaaatkan 13,000 belia menerusi program terbabit.