Tipu 13 mangsa mohon bantuan eKasih, lelaki dipenjara 4 tahun, 14 sebatan

Tipu 13 mangsa mohon bantuan eKasih, lelaki dipenjara 4 tahun, 14 sebatan

Tertuduh yang menyamar pegawai bantuan eKasih meminta mangsa menyerahkan RM300 hingga RM1,000 bagi proses memohon bantuan.

Muhammad Halmi Ismail, 49, mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret Ipoh atas 13 pertuduhan menipu bantuan eKasih.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dihukum penjara 21 tahun dua bulan serta 14 sebatan oleh dua Mahkamah Majistret Ipoh atas 13 pertuduhan menipu bantuan eKasih.

Harian Metro melaporkan Muhammad Halmi Ismail, 49, mengaku bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan di depan Majistret Siti Nora Sharif dan baki sembilan pertuduhan di depan Majistret S Punitha.

Tetapi, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara empat tahun dan 14 sebatan selepas kedua-dua majistret memerintah hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh sabitan hari ini.

Bagi empat pertuduhan pertama, Halmi didakwa menipu empat lelaki berusia 65 hingga 76 tahun dengan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM2,150 untuk mendapatkan tawaran bantuan eKasih tidak wujud, di mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayanya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tiga bank berbeza di lpoh antara 23 Jan hingga 22 April lalu.

Bapa empat anak itu didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun, sebat atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin dan Nuranisah Ismah Muhammad Husaini, manakala tertuduh diwakili peguam Robert S Gnanarajan.

Untuk baki sembilan pertuduhan, Halmi didakwa menipu tujuh lelaki dan dua wanita berusia 60 hingga 77 tahun dengan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM4,230 untuk mendapatkan tawaran bantuan eKasih tidak wujud.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sembilan lokasi berbeza di sekitar lpoh antara 1 Jan hingga 23 Jun lalu. Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun, sebat atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah dan M Kathan.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris dilaporkan berkata, lelaki ditahan di pekarangan IPD Kota Setar, Kedah pada 2 Julai lalu.

Katanya suspek menyamar pegawai bantuan eKasih dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai RM300 hingga RM1,000 kononnya bagi proses permohonan bantuan eKasih dan pembukaan akaun bank.

Tetapi, selepas mendapat wang tunai mangsa, suspek berpura-pura membuat salinan fotostat kad pengenalan mangsa.

Beliau berkata, mangsa yang diminta menunggu di bank hanya menyedari ditipu apabila suspek tidak kembali dengan melarikan wang tunai dan kad pengenalan mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.