Tayang kemaluan pada rakan sekerja, lelaki ditahan

Tayang kemaluan pada rakan sekerja, lelaki ditahan

Polis berkata suspek didakwa membuka seluar sebelum menayang kemaluan kepada mangsa ketika di pejabat.

azam ismail
Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh dengan menayang kemaluan kepada seorang wanita yang juga rakan sekerjanya di sebuah pejabat di Putra Plaza Ampang.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata kejadian dilaporkan berlaku pada 12 Julai apabila lelaki berusia 48 tahun dikatakan membuka seluar sebelum menunjukkan kemaluannya kepada pengadu ketika berada di pejabat.

“Tindakan lelaki itu menyebabkan wanita berusia 48 tahun itu panik dan berlari ke tempat letak kereta sebelum membuat laporan polis.

“Susulan laporan mangsa, polis menangkap suspek yang merupakan pembantu operasi syarikat pada Isnin lalu di kawasan Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hasil ujian air kencing terhadap lelaki itu didapati negatif dadah dan suspek ditahan reman selama empat hari hingga 26 Julai depan.

Menurutnya, kes itu disiasat bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Hukuman bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan adalah penjara hingga lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Manakala hukuman bagi kesalahan bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil boleh dikenakan denda RM100.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.