
Dalam kenyataan di Facebook, ia memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga akan mengambil tindakan yang berkaitan di bawah bidang kuasa masing-masing terhadap premis berkenaan.
“LUAS sudah melaksanakan pemantauan intensif bermula Isnin lalu sehingga hari ini di Sungai Kuang, Sungai Kundang, Sungai Sembah dan Sungai Selangor, di mana bacaan bau dan pemerhatian keadaan aliran sungai dianalisa dan disemak setiap 30 minit.
“Kita juga sudah melaksanakan langkah-langkah mitigasi terhadap pengesanan bau abnormal di lokasi-lokasi berkaitan dan air mentah berjaya disalurkan semula bermula 3 sehingga 5 petang semalam kepada loji-loji rawatan air utama negeri.
“Tindakan kerja pembersihan oleh premis terbabit susulan Surat Arahan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 di kawasan lokasi yang terjejas dan terkesan dengan bahan pencemar itu juga dilaksanakan dan dipantau rapi oleh LUAS, yang mana ia selesai sepenuhnya jam 11 malam tadi,” katanya.
LUAS berkata verifikasi di semua lokasi berkenaan mengesahkan bacaan 0 ton dan tiada lagi kesan bahan terbabit ditemui.
“LUAS akan meneruskan pemantauan di lokasi terbabit dan sentiasa bersiap siaga untuk tindakan-tindakan mitigasi yang perlu,” katanya.
Terdahulu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaludin dalam kenyataan memaklumkan pencemaran bau berkenaan yang dikesan sejak kelmarin berpunca daripada premis kilang dipercayai memproses bahan akrilik untuk dikitar semula.
Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan tujuh kawasan di Lembah Klang iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan air tidak berjadual ekoran empat LRA dihenti tugas sementara berikutan pencemaran itu.
Bagaimanapun Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim berkata gangguan air itu dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini.