Badan Peguam rayu dibenar cabar keputusan DNAA Zahid

Badan Peguam rayu dibenar cabar keputusan DNAA Zahid

Notis rayuan itu difailkan semalam di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Badan Peguam memohon kebenaran mencabar keputusan peguam negara memperoleh DNAA untuk Zahid Hamidi bagi 47 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah.
KUALA LUMPUR:
Badan Peguam merujuk kepada Mahkamah Rayuan dalam usaha mendapatkan kebenaran mencabar keputusan peguam negara tidak meneruskan kes rasuah Zahid Hamidi.

Peguamcara Abhilaash Subramaniam & Co memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Shahrul Fazli Kamarulzaman, salah seorang peguam Zahid memberitahu FMT, salinan notis itu disampaikan kepada mereka pagi ini.

Notis serupa juga disampaikan kepada Jabatan Peguam Negara.

Hakim Amarjeet Singh dijangka menyediakan alasan penghakiman untuk disertakan dalam rekod rayuan.

Pada 23 Jun, Amarjeet turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang mengenai kes Zahid ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, perkara kes itu tidak boleh disemak oleh mahkamah memandangkan peguam negara tidak mempunyai kewajipan memberikan dokumen berkaitan siasatan kes itu kepada Badan Peguam

Pada 4 Sept tahun lepas, Hakim Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan presiden Umno itu bagi 47 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Peguam negara memperoleh DNAA untuk Zahid berdasarkan representasi dikemukakan oleh pasukan pembelaannya kepada pihak pendakwaan berikutan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat perkembangan kes itu.

Dalam permohonan yang difailkan tahun lepas, Badan Peguam meminta kebenaran membatalkan keputusan peguam negara memperoleh DNAA untuk Zahid, mendakwa ia tidak munasabah dan tercemar dengan ketidakrasionalan.

Badan Peguam juga memohon mahkamah memerintahkan peguam negara mendedahkan semua maklumat yang digunakan serta asas mencapai keputusan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.