STPM 2023 catat PNGK 2.84 mata, tertinggi dalam sejarah

STPM 2023 catat PNGK 2.84 mata, tertinggi dalam sejarah

Peningkatan itu merupakan PNGK terbaik sejak STPM dilaksanakan.

stpm
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Mohd Ekhwan Toriman berkata seramai 41 calon STPM mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 merekodkan pencapaian tertinggi dalam sejarah apabila merekodkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.84 mata.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Mohd Ekhwan Toriman berkata peningkatan itu merupakan PNGK terbaik sejak STPM dilaksanakan.

Katanya, bilangan calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil meningkat kepada 41 berbanding 38 calon pada 2022.

“Kita boleh simpulkan bahawa prestasi STPM 2023 lebih baik berbanding tahun lepas yang mencatatkan PNGK 2.82 mata dan terdapat peningkatan terutamanya pelajar-pelajar dapat keputusan 5A dan PNGK.

“Saya yakin kalau prestasi ini berterusan, tahun hadapan, prestasi keputusan STPM lebih baik..,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM di Dewan Besar MPM Kuala Lumpur.

Seramai 42,908 calon STPM mendaftar pada 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata, bilangan calon mendapat 4A menurun daripada 1,158 pada 2022 kepada 1,087 calon.

Tambahnya, calon mendapat PNGK 4.00 pada tahun juga ini menyaksikan penurunan iaitu 1,116 calon berbanding 1,184 calon 2022.

Menerusi pengumuman itu juga, Ekhwan berkata, seramai 1,360 pelajar tidak hadir disebabkan beberapa alasan antaranya menyambung pengajian dan mempunyai urusan keluarga.

“Ada beberapa sebab mengapa pelajar ini tidak hadir menduduki peperiksaan antaranya sambung belajar ke tempat lain, masalah kesihatan, dapat kerja, ada urusan keluarga, dan (ada) telah kembali ke rahmattullah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.