
Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel hakim, berkata hukuman mati adalah wajar dikenakan terhadap Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Sofi, Najib Razi, Afif Najmudin Azahat, Shobirin Sabri dan Hakeem Ali kerana jenayah yang dilakukan adalah kejam.
Turut bersidang Hakim Zaini Mazlan dan Azmi Ariffin.
Keenam-enam mereka didakwa membunuh Zulfarhan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM pada 22 Mei 2017.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 2021 mengurangkan pertuduhan bunuh itu kepada menyebabkan kematian tanpa niat dan dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun.
Pada Mei, pihak pendakwaan memohon hukuman mati ke atas enam tertuduh sebagai pencegahan kepada masyarakat dan untuk menekankan penolakan buli dan penderaan melampau.
Pada masa itu, Timbalan Pendakwa Raya K Mangai berhujah bahawa penyeksaan terhadap Zulfarhan, yang mengakibatkan 90 kesan lecur meliputi 80% badannya, merupakan satu tindakan melampau.
Beliau berkata bedah siasat mendedahkan bahawa melecur adalah punca kematiannya.
Hadhariah berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam mengurangkan pertuduhan bunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat.
Beliau berkata pakar patologi Dr Salmah Arshad memberi keterangan bahawa Zulfarhan telah mengalami 90 kecederaan di seluruh badannya.
“Doktor berkata, berdasarkan (penemuan dalam) jurnal perubatan, 30-50% melecur (dialami mangsa) berkemungkinan membawa maut.
“Dr Salmah juga berkata bahawa peluang untuk hidup bagi Zulfarhan – yang mengalami lebih daripada 80% melecur pada badannya – adalah tipis,” kata Hadhariah.
Hadhariah berkata, Zulfarhan telah diserang oleh rakan sebayanya tanpa henti selama dua hari, dari 21 hingga 22 Mei 2017, kerana didakwa mencuri komputer riba Akmal.
Bagaimanapun, dia menyatakan bahawa komputer riba itu tidak pernah ditemui, walaupun cubaan rakan sekelas Syafiq Abdullah untuk mencari komputer riba berkenaan di dalam loker Zulfarhan.
“Akmal sangat berang kerana kehilangan komputer riba itu dan berkeras bahawa Zulfarhan yang mencurinya, tetapi arwah menafikannya,” kata Hadhariah sambil menambah Zulfarhan tidak pernah mengaku mencuri komputer riba itu walaupun berulang kali diserang rakan sebayanya.
Selepas dua hari, Akmal dan empat yang lain – tidak termasuk Hakeem – memberitahu rakan sekelas bahawa mereka mahu ‘merawat’ Zulfarhan untuk kecederaannya dengan membawanya ke klinik.
“Doktor klinik (Dr Afzar Hussin) menulis surat rujukan supaya Zulfarhan boleh dimasukkan ke Hospital Serdang.
“Tetapi mereka (tertuduh) tidak pernah menghantarnya ke hospital. Mereka memberitahu Dr Afzar bahawa kecederaan Zulfarhan adalah akibat ‘letupan’ semasa sesi latihan,” kata Hadhariah.