
Ketua Polis Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan menerima laporan kejadian itu yang difailkan individu terbabit Ahad lalu.
“Kita sedang kesan (lelaki itu yang didakwa membuat ugutan) dan akan panggil (dia) untuk diambil keterangan,” katanya kepada FMT.
Ku Mashariman bagaimanapun berkata, polis mengklasifikasikan kes itu tiada tindakan lanjut (NFA) kerana tiada keganasan atau kecederaan dialami kedua-dua pihak.
Beliau berkata, polis akan menyiasat semua laporan difailkan, tetapi kertas siasatan hanya akan dibuka jika terdapat bukti perlakuan jenayah.
Dalam laporan polis dilihat FMT, pengadu berkata, dia menyaksikan pasangan itu bergaduh di belakang keretanya di tempat parkir pada 9 malam Jumaat lalu.
“Tiba-tiba lelaki tersebut menghampiri saya dan menengking saya. Dia juga memegang tangan saya dan memberi amaran akan memukul saya.
“Saya datang ke balai polis buat laporan kerana risau akan keselamatan saya dan untuk tindakan lanjut,” kata pengadu.
Pengadu turut berkongsi video kejadian itu dalam X semalam, di mana lelaki itu kedengaran melemparkan kata-kata kasar terhadapnya.
“Saya sangat hampir nak pukul awak. Awak tak perlu beritahu saya apa perlu dilakukan. Berapa umur awak?” kata lelaki itu.
Dia juga kedengaran mendakwa dirinya peguam dan mengabaikan cadangan pengadu supaya mereka ke balai polis.