Perantis IWK perkasa belia tentang kelestarian alam sekitar

Perantis IWK perkasa belia tentang kelestarian alam sekitar

Program perantis dengan kerjasama NK Communications PLT turut fokus pada membangunkan kualiti kepimpinan.

CEO IWK Narendran Maniam bersama golongan muda yang menyertai Perantis IWK yang diadakan sempena ulang tahun ke-30 syarikat itu.
PETALING JAYA:
Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd meneruskan sambutan ulang tahunnya ke-30 dengan memperkenalkan program Perantis IWK, dalam usahanya memperkasa belia tentang kelestarian alam sekitar.

Program dengan kerjasama NK Communications PLT yang dilaksanakan selama lima hari itu turut memberi fokus pada membangunkan kualiti kepimpinan dalam kalangan peserta, selain mempelajari cara mencipta kempen media sosial dengan berkesan, antara komponen komunikasi penting dalam kerjaya mereka.

Perantis IWK dijalankan pada 13 hingga 15 Julai dan 20 hingga 21 Julai bertempat di IWK @ Eco Park Pantai Dalam.

Dikendalikan pengarah NK Communications, yang juga juruhebah radio dan hos TV, Natalie Kniese, bersama jurulatih HRDF bertauliah dan perunding imej profesional bertauliah (CPIC), Lalitha Muthusamy, semua peserta menjalani pembelajaran teori di dalam kelas, dan aspek praktikal untuk memahami proses rawatan kumbahan.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam, berkata program berkenaan bertujuan membangunkan modal insan selain memupuk minat terhadap memelihara alam sekitar, di samping meraikan tiga dekad perkhidmatan IWK.

“Kami percaya Perantis IWK akan memperkasa belia dan menyediakan mereka dengan dunia pekerjaan. Saya bangga dengan usaha dan komitmen yang dipamerkan oleh semua peserta,” katanya ketika majlis penyampaian anugerah peserta terbaik program Perantis IWK, baru-baru ini.

Menurut Narendran, program Perantis IWK sebahagian aspirasi dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat IWK iaitu IWK Cares, yang memfokuskan tiga tonggak – alam sekitar, komuniti, dan pendidikan.

“Semua perantis IWK bukan sahaja menjalani latihan yang disediakan malah mereka bersaing untuk memenangi tiga hadiah utama iaitu wang tunai bernilai RM1,000 seorang dan peluang pekerjaan atau peluang latihan industri di IWK,” katanya.

Menerusi program itu, anugerah kumpulan terbaik dimenangi Purrfect Duo, dianggotai Lew Bay Sin dan Naida Sofea Mohd Noorhazli. Anugerah Rangkaian Terbaik pula jatuh kepada Irwan Ibrahim.

IWK Youth, dianggotai Eng Jin Cherng, Irwan Ibrahim, dan Alia Nurmaisarah Hairil Anuar, pula memenangi aktiviti cabaran fizikal.

Penilaian akhir dijalankan oleh panel terdiri daripada Ketua Jabatan Perancangan dan Kejuruteraan IWK, Taufik Salleh; Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad; Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia dan Modal Insan IWK, Azhan Mohd Lazim, dan Pengarah Urusan NK Communication PLT, Misha Shah.

Pemenang Perantis IWK, Lew dan Naida Sofea berkata latihan dan kemahiran yang disediakan sepanjang program berkenaan menawarkan pengalaman baharu kepada semua peserta.

“Kami bukan sahaja mendapat banyak pengetahuan mengenai sistem pembetungan, malah program ini dijalankan secara percuma.

“Kami amat bertuah kerana mendapat peluang ini dan saya berharap IWK dapat meneruskan program Perantis IWK untuk tahun-tahun akan datang, supaya lebih ramai generasi muda mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.