Ibu kanak-kanak hilang mohon henti sebar maklumat tak tepat

Ibu kanak-kanak hilang mohon henti sebar maklumat tak tepat

Leo Qieo Xin sangat marah dan kecewa apabila banyak berita tidak tepat mengaitkan hal kehilangan anaknya.

Leo Qieo Xin memohon orang ramai menghentikan penyebaran maklumat tidak tepat mengenai anaknya, Albertine Leo Jia Hui.
ISKANDAR PUTERI:
Ibu kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ketika berada di sebuah pusat beli-belah, Sabtu lepas, memohon orang ramai menghentikan penyebaran maklumat tidak tepat mengenai anaknya sehingga menjejaskan siasatan polis.

Leo Qieo Xin, 37, yang berada di pusat beli-belah berkenaan sejak kejadian itu berlaku berkata dia sangat khuatir akan keselamatan Albertine Leo Jia Hui, 6, yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Wanita itu juga memaklumkan beliau akan terus berada di lokasi kehilangan sehingga kanak-kanak itu dijumpai.

“Saya sangat marah dan kecewa apabila banyak berita tidak tepat mengaitkan hal kehilangan anak saya. Tolonglah hentikan… saya sangat sedih dengan kejadian ini. Saya tidak selera makan sebab terlalu risau,” katanya kepada pemberita.

Kejadian itu difahamkan berlaku ketika berlangsungnya festival Bon Odori dengan Leo Qieo Xin berniaga menjual minuman di festival itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat beli-belah tersebut mendapati dua ekor anjing pengesan polis digunakan untuk mengesan kanak-kanak itu.

Premis perniagaan di pusat beli-belah itu beroperasi seperti biasa.

Dalam pada itu, beberapa pihak menawarkan wang ganjaran berjumlah sehingga RM50,000 kepada pihak yang berjaya menemukan kanak-kanak itu menerusi media sosial.

Semalam, Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan, dilapor meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Albertine yang disedari hilang oleh bapanya kira-kira 8.30 malam, pada Sabtu.

Kumarasan dipetik berkata kanak-kanak berketinggian lebih kurang 120 sentimeter, rambut panjang berwarna hitam, kulit cerah dan tubuh sederhana kurus itu memakai kemeja T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ pada bahagian dada dan berseluar pendek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.