
Menurut sumber, soal siasat polis mendapati suspek pergi ke kebun tersebut serta beberapa lokasi lain sebelum kejadian, dan petang semalam polis ke kebun ubi di Kampung Klan Halt itu bagi tujuan siasatan.
“Polis pergi ke kebun berkenaan bersama suspek semalam dan mengambil keterangan beberapa pekerja kebun warga tempatan dan asing bagi membantu siasatan,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Mohd Asri Mohd Yunus, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini.
Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira 6 petang pada 15 Julai.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak ditahan dan direman hingga Isnin ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.