
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Ala, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata antara usaha dilihat menunjukkan impak positif adalah penambahan bilangan renjer komuniti daripada 1,000 kepada 2,000 orang terdiri veteran tentera, polis, Orang Asli dan komuniti setempat tahun ini.
“Kemajuan yang baik apabila ada renjer komuniti dalam habitatnya bagi membanteras pemburu haram. Ini adalah usaha berterusan kita untuk memulihkan sebanyak mungkin koridor-koridor hidupan liar di kawasan tengah Semenanjung yang menjadi tempat rayau bagi harimau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas larian demi si belang sempena Hari Harimau Sedunia 2024 sejauh 3.5km di Taman Metropolitan Kepong.
Nik Nazmi berkata, habitat Harimau Malaya yang semakin berkurangan turut menjadi cabaran kerana ia meningkatkan konflik serta menimbulkan masalah kepada spesies ikonik negara.
“Kadang-kadang ia melibatkan masalah pemakanan. Hidupan yang sepatutnya menjadi mangsa kepada harimau ini juga semakin berkurangan seperti babi hutan, rusa sambar… itu juga menimbulkan masalah. Mereka akan keluar dari kawasan hutan sebab tidak cukup makanan yang ada dalam hutan,” katanya.
Mengenai larian anjuran WWF-Malaysia dan Maybank yang disertai lebih 1,000 peserta itu, Nik Nazmi berkata ia sebagai usaha memupuk kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang Hari Harimau Sedunia yang akan disambut pada 29 Julai ini.