Kabinet kaji tindakan seterusnya susulan keputusan ICJ berhubung Israel

Kabinet kaji tindakan seterusnya susulan keputusan ICJ berhubung Israel

Malaysia sokong Pendapat Nasihat ICJ bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin tidak sah, kata PM.

Semalam, ICJ memutuskan pendudukan Israel selama beberapa dekad di wilayah Palestin tidak sah di sisi undang-undang dan perlu dihentikan segera. (Gambar Reuters)
CYBERJAYA:
Jemaah Menteri akan menentukan tindakan yang akan diambil oleh Malaysia susulan Pendapat Nasihat dikeluarkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin tidak sah.

“Kita akan teliti cadangan tentang kesan daripada (Pendapat Nasihat) ICJ,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jiwa Merdeka.

“Pada mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini, kita akan buat keputusan muktamad tentang langkah yang kita akan lakukan untuk bersama dengan keputusan ICJ mengecam dan bertindak ke atas Israel.”

Anwar juga menegaskan, Malaysia menyokong pendapat ICJ, yang menurutnya dibuat ‘berdasarkan fakta yang jelas mengenai keganasan dan kekejaman berterusan Israel’.

Jumaat lepas, mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu memutuskan pendudukan Israel selama beberapa dekad di wilayah Palestin tidak sah di sisi undang-undang dan perlu dihentikan segera.

Pendapat Nasihat itu, walaupun tidak mengikat, menonjolkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap konflik Israel dengan Hamas dan dasar-dasarnya, termasuk pembinaan penempatan dan pengilhakan wilayah.

ICJ berkata, Israel ‘mempunyai kewajipan untuk menghentikan serta-merta semua kegiatan penempatan baharu dan mengeluarkan semua peneroka’ dari tanah yang diduduki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.