
Beliau yang bertindak sebagai pengarah operasi PRK Nenggiri berkata, calon itu juga individu aktif dalam parti dan mempunyai pengalaman politik.
“Calon memang mustahak, tapi yang berlawan ini bukan berlawan ‘body’, ini perlawanan perjuangan besar.
“Pertama, calon kita tentu jauh lebih ‘style’, lebih baik, lebih bagus, lebih segalanya daripada calon yang mereka (BN) umumkan itu, calon kita dijamin lebih matang daripada calon (BN),” katanya pada ceramah di Limau Kasturi, Gua Musang, malam tadi.
Beliau berkata, pengumuman rasmi calon akan dibuat pucuk pimpinan kelak.
Seperti kempen PN sebelum ini pada pilihan raya, Annuar juga mengulangi ‘pujukan’ sama agar ahli Umno memberi undi kepada calon gabungan itu, sebagai isyarat protes pada pimpinan mereka.
Katanya, memberi undi kepada BN ibarat menyokong DAP.
Semalam, FMT melaporkan Bersatu kemungkinan besar meletakkan calon langsung iaitu seorang pegawai kerajaan Kelantan di Dabong mewakili PN.
Sumber Bersatu memberitahu, pimpinan parti dikatakan cenderung memilih Sun Najaman Muhamad mempertahankan Nenggiri pada PRN bulan depan.
Sebelum ini, media melaporkan Sheikh Razali Hamad, bekas ketua pemuda Umno Gua Musang turut dipertimbang calon berpotensi PN menjelang PRK Nenggiri.
BN sebelum ini mengumumkan mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calonnya.