
Beliau berkata akta itu telah dibincangkan dan semakan sudah dimulakan.
“Kita sesuaikan dengan situasi pasaran pelancongan sekarang dan untuk sekurang-kurangnya untuk 20 tahun akan datang sebelum ubah suai dilakukan,” katanya pada sidang media di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan bersempena kempen melawat Malaysia 2026.
Pada 10 Julai lalu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata Akta Industri Pelancongan akan diperkasa bagi memastikan tahap penguatkuasaan lebih baik, selari dengan usaha mengekang kes penipuan pakej pelancongan termasuk pakej umrah.
Katanya, penambahbaikan akta itu perlu memandangkan ia lama tidak diperbaharui, selain membantu pengawasan kes penipuan pakej pelancongan.
Dalam pada itu, Zahid berkata kerajaan menyasarkan 35 juta kemasukan pelancong pada 2026.
Beliau berkata kerajaan juga akan melaksanakan segmentasi untuk menarik lebih ramai pelancong.
“Kita membahagikan ini kepada pasaran sedia ada dan pasaran baharu.
“Ini kita lakukan kerana suatu program itu harus dimulakan sekarang kerana tahun depan adalah pelaksanaanya dan 2026 kita akan menerima pelancong mengikut kumpulan sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.
Zahid yakin dengan penglibatan sektor swasta dan penggiat pelancongan dalam semua bidang akan dapat mendukung semua program Motac bagi menarik pelancong.