Kes keropok beracun, pekebun bebas dengan jaminan polis

Kes keropok beracun, pekebun bebas dengan jaminan polis

Ketua Polis Kulim Mohd Azizul Mohd Khairi berkata suspek dibebaskan sementara menunggu keputusan timbalan pendakwa raya.

keropok racun tikus
Dua beradik lelaki itu meninggal dunia di hospital selepas dipercayai termakan keropok mengandungi racun tikus yang tergantung di pagar sebuah kebun di Kedah, pada 7 Julai lalu. (Gambar PDRM)
KULIM:
Seorang lelaki berusia 33 tahun yang direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian dua beradik maut akibat termakan keropok mengandungi racun, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Kulim Mohd Azizul Mohd Khairi berkata suspek yang merupakan seorang pekebun itu, direman sejak 11 Julai sehingga semalam.

“Tempoh reman tidak akan disambung dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan timbalan pendakwa raya.

“Kertas siasatan sudah lengkap dan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia selepas makan keropok mengandungi racun tikus.

Pada kejadian 7 Julai di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, kanak-kanak tersebut dipercayai mengambil paket keropok yang digantung pada dawai besi pagar kebun oleh pemilik kebun bagi memerangkap monyet.

Akil Syauqi dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 10 Julai, manakala Luth Syauqi meninggal dunia dua hari kemudian di hospital sama.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling.

Siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.