Nasib Jailani di tangan KM Melaka, kata Zahid

Nasib Jailani di tangan KM Melaka, kata Zahid

Presiden Umno berkata tindakan diputuskan Ab Rauf Yusoh akan dibawa ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi.

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata Ab Rauf Yusoh selaku pengerusi BN Melaka akan memutuskan tindakan bakal dikenakan terhadap Adun Rembia Muhamad Jailani Khamis.
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Zahid Hamidi menyerahkan kepada Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh untuk menentukan tindakan akan diambil terhadap Adun Rembia yang didakwa menyertai PAS.

Zahid berkata, ia termasuk sama ada memecat Muhamad Jailani Khamis daripada Umno atau kerusi itu perlu dikosongkan bagi memberi laluan kepada PRK.

“Saya mengadakan perbincangan dengan ketua menteri Melaka (Rauf) dan saya serahkan sepenuhnya (tindakan) kepada beliau selaku pengerusi BN (Barisan Nasional) negeri.

“Tindakan yang diputuskan, kita akan bawa kepada Majlis Kerja Tertinggi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Peserta Program Inisiatif Malaysia-China Institute.

Ditanya adakah tindakan Jailani membuka ruang kepada wakil rakyat BN untuk turut menarik sokongan terhadap kerajaan atau menyertai parti lain, Zahid yakin tiada Adun atau Ahli Parlimen gabungan itu akan berpaling tadah.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam sidang media di Parlimen mengumumkan Jailani menyertai parti itu pada 10 Jun tahun lalu.

Takiyuddin berkata, Jailani yang digantung keahlian daripada Umno tidak terikat dengan peruntukan antilompat parti kerana menyertai PAS sebelum akta itu diluluskan di Melaka.

Dalam perkembangan lain, Zahid memaklumkan calon BN bagi PRK DUN Nenggiri akan dimuktamad dan diumumkan minggu ini.

“Calon kita anak tempatan dan ada jawatan di kawasan tersebut. Kita pilih yang terbaik dan dalam kategori boleh menang serta diterima pengundi” katanya.

Sabtu lalu, Tengku Razaleigh Hamzah berkata Umno Gua Musang menyenaraikan nama tiga calon muda untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi dipilih mewakili BN pada PRK itu.

Antara nama disebut ialah Ketua Umno Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Ketua Penerangan Umno Gua Musang Amran Arifin dan Ketua Wanita Umno Gua Musang Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.