
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 hari ini, Shahidan (PN-Arau) berkata, RUU itu perlu dirujuk kepada jawatankuasa pilihan untuk semakan lanjut.
Walaupun PN tidak menentang prinsip RUU itu, pihaknya mendapati pelaksanaannya lemah, tambahnya.
Beliau berkata, pindaan itu akan menyaksikan peningkatan bilangan pakar perubatan di Malaysia, tetapi dengan kualiti yang kurang konsisten.
“Kita mesti pastikan (bakal pakar) lalui MQA (Agensi Kelayakan Malaysia), lepas itu baru MPM,” katanya.
“MPM ini kuasa mendaftar (dalam Daftar Pakar Kebangsaan) dan kuasa menentukan pusat pengajian yang diiktiraf,” katanya menambah, pemberian kuasa muktamad kepada MPM untuk mengiktiraf pakar akan menjejaskan program laluan selari.
Dibentangkan untuk bacaan pertama pada Isnin, RUU membabitkan Akta Perubatan 1971 itu antara lainnya meminda Seksyen 14(2A)(a) bagi menggantikan klausa sebelumnya mengenai ‘program latihan yang diiktiraf di mana-mana institusi latihan yang diiktiraf’ dengan ‘program latihan di mana-mana institusi seperti yang ditentukan oleh MPM’.
Perubahan kepada Seksyen 14B(2) akan memberi kuasa kepada menteri kesihatan untuk mendaftarkan doktor pakar atas syor MPM jika berpuas hati bahawa pemohon mempunyai kelayakan lain yang setanding atau latihan khusus yang bernilai khas kepada negara.
Ketua pakar bedah kardiotoraks Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Basheer Ahamed Abd Kareem sebelum ini berkata, RUU itu akan memberikan kejelasan bahawa MPM dan KKM mempunyai kuasa muktamad dan bebas dalam mengiktiraf pakar, mengetepikan MQA.
Mempertikaikan perkara ini, Shahidan berkata, hanya ahli profesional perubatan patut mempunyai kuasa tunggal untuk mendaftarkan pakar.
“Kenapa mesti diberi kuasa (kepada) menteri? Kalau menteri katalah pakar perubatan, okeylah. Rakyat Malaysia, kalau kami (PN) jadi menteri ke hadapan ini, kami tidak akan ambil kuasa menteri ini.
“Biar profesional yang menentukan, ini soal hidup mati orang,” katanya.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad kemudian menjawab, memetik surat daripada MQA yang menyatakan kuasa memperakui ijazah kepakaran daripada program laluan selari sebelum ini telah diberikan kepada KKM seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis MQA pada 20 Mac 2018.
“Ini bermakna tiada salah faham mengenai perkara ini selama ini. Hanya mereka yang tidak faham perkara itu akan berhujah untuk (MQA) beri kelayakan,” katanya.