Balu juruterbang MH17 restui hasrat anak ikut jejak bapa

Balu juruterbang MH17 restui hasrat anak ikut jejak bapa

Kapten Eugene Choo Jin Leong terbunuh dalam tragedi pada 2014 itu, tetapi Ivy Loi merestui hasrat anak-anak untuk ikut jejak langkah bapa mereka.

Ivy Melvic
Ivy Loi bersama Melvic, seorang juruterbang AirAsia, dan Scott yang tamat pengajian ijazah kejuruteraan aeronautik serta ingin jadi juruterbang.
PETALING JAYA:
Ivy Loi tidak menghalang anak-anaknya mengikut jejak langkah bapa mereka menjadi juruterbang, meskipun mendiang suaminya terkorban dalam tragedi MH17 10 tahun lalu.

“Ramai bertanya tentang keputusan saya membenarkan anak-anak mengikut jejak langkah bapa mereka. Sesiapa sahaja wajar berasa takut, jadi saya tak salahkan orang bertanya, tapi itukan cita-cita mereka,” katanya kepada FMT.

Melvic
Mendiang Kapten Eugene Choo Jin Leong adalah kapten penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014.

Mendiang suaminya, Eugene Choo Jin Leong, adalah kapten pesawat Malaysia Airlines Flight 17 yang ditembak jatuh dengan peluru berpandu di ruang udara Ukraine pada 2014.

Apabila pilihan kerjaya anaknya dipersoalkan, Loi berkata memandu di jalan raya lebih berbahaya berbanding di udara.

“Saya memberi restu dan galakan kepada anak-anak saya,” katanya, dan menambah barangkali ia cara mereka mengenang bapa mereka.

Melvic
Melvic bersama bapanya dalam kokpit pesawat ketika dia berusia empat tahun.

Anak sulungnya, Melvic, 23, seorang juruterbang dengan AirAsia manakala adiknya, Scott, 21, baru sahaja tamat ijazah kejuruteraan aeronautik di UK dan memohon kepada MAS dan AirAsia untuk menyertai program penerbangan mereka.

Loi bertemu suaminya semasa berkhidmat sebagai anak kapal dengan Malaysia Airlines. Mereka meluahkan perasaan masing-masing ketika dalam penerbangan ke Melbourne, Australia.

“Detik itu amat istimewa yang akan saya kenang sepanjang hayat. Dia seorang rakan sekerja yang bagus dan baik hati dengan semua orang. Semua orang suka menaiki penerbangannya. Dia amat teliti dan bersungguh-sungguh ketika bekerja,” katanya.

Mereka menandakan ikatan istimewa itu dengan menamakan anak pertama Melvic, akronim untuk Melbourne, Victoria.

Choo sebagai seorang bapa sangat lembut dengan anak-anaknya, dan Choo memastikan sebahagian besar masa lapangnya adalah bersama anak-anaknya. Dia juga memberi galakan dalam apa sahaja minat mereka. Melvic berusia 13 tahun manakala Scott 11 tahun ketika mereka kehilangan bapa mereka.

Pesawat MH17 yang membawa 298 orang dari London ke Kuala Lumpur ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, ketika merentasi wilayah timur Ukraine yang dilanda peperangan. Semua 283 penumpang dan 15 anak kapal terbunuh.

Mangsa dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 rakyat kita, 38 warga Australia, dan 10 dari United Kingdom.

Khabar buruk

Mengimbau detik ketika beberapa rakan rapat suaminya membawa berita tragedi itu, Loi berkata dia jadi kaku dan tak ingat apa-apa dalam tempoh beberapa jam selepas terima khabar buruk itu.

“Saya punah sama sekali dan fikiran jadi kosong. Ramai rakan-rakan dari MAS dan ahli keluarga di rumah kami tapi saya tak ingat apa yang saya buat ketika itu,” katanya.

Eugene Choo
Eugene Choo bersama Ivy Loi dalam seragam MAS.

“Selepas beberapa jam berlaku barulah tiba-tiba saya sedar yang saya sudah kematian suami dalam serangan itu.” Berhari-hari Loi menangis atas pemergian orang tersayang, dan duka hatinya amat mencengkam.

“Akhirnya, dengan bantuan saudara-mara dan rakan-rakan yang sangat baik dan penyayang, saya sedar kehidupan perlu diteruskan dan saya perlu jaga anak-anak kami. Sifat Eugene yang sentiasa berfikiran positif sentiasa membimbing saya menjadi ibu yang kuat bagi anak-anaknya,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menanam rasa marah terhadap kerajaan Rusia atau Ukraine atas serangan itu, Loi berkata dia hanya mahu keadilan ditegakkan, dan tidak mahu diheret ke dalam politik di sebalik peristiwa itu.

“Saya mahu tumpu pada keluarga saya dan mahu mereka gembira, sambil mengingati kebaikan Eugene. Saya serahkan selebihnya pada kerajaan-kerajaan yang terlibat.”

Detik bangga

Melvic mula membawa pesawat AirAsia dua tahun lalu, selepas menjalani latihan sebagai juruterbang dengan syarikat penerbangan itu. Melvic akui ada terkenang ayahnya ketika terbang tetapi kenangan itu membuatkan beliau lebih berani.

“Apabila saya dapat ‘sayap’, detik itu merupakan saat yang amat membanggakan bagi saya dan ibu. Kami tahu ayah akan berbangga dan memberi restu,” katanya.

Menurutnya, Scott akan pulang dari pengajian di UK tidak lama lagi dan mereka berharap dia akan berjaya menjalani latihan juruterbang dengan MAS atau AirAsia.

Penghormatan

Sebagai penghormatan kepada mereka yang terkorban dalam tragedi MH17, sambutan ulang tahun ke-10 akan diadakan pada 17 Julai di Tugu MH17 berhampiran Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, menurut Kedutaan Belanda.

Dua warga Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky, serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di The Hague, tanpa kehadiran mereka. Mereka didapati bersalah pada 17 Nov 2022 kerana menyebabkan nahas MH17 dan membunuh 298 orang.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu membayar pampasan lebih €16 juta (RM96 juta) kepada waris.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.