Anwar seru tuntas tangani Islamofobia

Anwar seru tuntas tangani Islamofobia

Perdana menteri berkata usaha itu perlu libat pelbagai pihak bagi meluruskan persepsi berakar daripada xenofobia dan kejahilan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu usaha tangani Islamofobia dilakukan secara tuntas dan berkesan.
KUALA LUMPUR:
Gejala Islamofobia perlu ditangani secara tuntas dan berkesan dengan melibatkan usaha pelbagai pihak bagi meluruskan persepsi yang berakar daripada xenofobia dan kejahilan, di samping membetulkan kaedah pengajaran Islam.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata pandangan itu disepakati pada pertemuan dan wacana beliau bersama sarjana dan pemikir tempatan serta luar negara seperti Azerbaijan, Bosnia, England dan Turki di Seri Perdana, Putrajaya petang semalam.

“Perbincangan adalah bagi mengupas pelbagai perkara terkait permasalahan umat yang kian meruncing.

“Usaha memupuk empati dan persefahaman antara agama dan budaya berbeza harus terus dimantapkan dan akan didukung kerajaan,” katanya di Facebook.

Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Perdana menteri turut merakamkan penghargaan kepada pemikir Pusat Dasar Pascanormal dan Kajian Masa Hadapan (CPPFS), International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan ISTAC-IIUM atas kerja keras yang dilakukan dalam memastikan usaha bersama tidak sekadar berlegar dalam forum atau persidangan, tetapi turut mengambil langkah konkrit berdepan dengan sistem menerusi pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.