
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata proses bedah siasat selesai dilakukan oleh pakar patologi forensik Hospital Sungai Buloh pada 5.30 petang tadi.
“Pihak polis juga masih menjalankan siasatan lanjut dan memohon mana-mana saksi kejadian untuk tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya lapor Bernama.
Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan gambar atau melakukan perkara yang boleh mengganggu siasatan kes.
Media sebelum ini melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak Rabu lepas, ditemukan 6 petang semalam di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor.
Gadis berusia 25 tahun berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan berhampiran Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.
Terdahulu, suspek yang merupakan seorang anggota polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan.