Pindaan Akta Timbang Tara susulan tuntutan Sulu, kata Azalina

Pindaan Akta Timbang Tara susulan tuntutan Sulu, kata Azalina

Akta berkenaan dicadang dipinda susulan Malaysia menjadi mangsa Kumpulan Sulu dalam kes pembiayaan pihak ketiga, kata menteri itu.

azalina
Malaysia menyokong pembiayaan pihak ketiga dalam prosiding antarabangsa timbang tara tetapi perlu ada proses pendedahan penuh, kata Azalina Othman Said.
KUALA LUMPUR:
Pindaan terhadap Akta Timbang Tara 2005 antara lain memperuntukkan perkara berkaitan pembiayaan pihak ketiga, mengambil iktibar susulan tuntutan Kumpulan Sulu terhadap Malaysia sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, pindaan itu memberi keyakinan bahawa Malaysia tidak mempunyai masalah dengan pembiayaan pihak ketiga dalam kes timbang tara namun perlu ada proses pengadilan yang jujur dan terbuka.

“(Dalam kes) pembiayaan pihak ketiga ini, Malaysia menjadi mangsa Kumpulan Sulu. Sampai hari ini, kita tahu mereka tidak berkemampuan tetapi diberi sokongan dari luar, orang yang membantu tidak mahu beritahu siapa mereka dan mereka boleh pergi semua mahkamah antarabangsa sebab banyak duit.

“…Memang betul kita menyokong pembiayaan pihak ketiga dalam apa-apa prosiding antarabangsa timbang tara tapi kita nak proses pendedahan penuh,” katanya.

“Itu memang kita merasakan dalam terma perundangan adalah strategi budiman maknanya kita dedahkan sepenuhnya (maklumat) tak ada sembunyi-sembunyi, kita ada kod etika.”

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Timbang Tara (Pindaan) 2024 peringkat jawatankuasa hari ini sebelum ia diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan lebih suara bersetuju.

Azalina juga berkata, pindaan RUU itu bertujuan memperkasa peranan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang antara lain, melalui penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC, kuasa presiden Mahkamah AIAC tidak secara berseorangan.

“Ini merupakanan antara inisiatif kerajaan bagi meningkatkan martabat AIAC sekali gus meningkatkan bilangan kes-kes Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) yang dirujuk ke Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Turut diluluskan RUU Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024 yang antara lain bertujuan memperuntuk perubahan nama Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (PTSKL) kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.