Dewan Rakyat lulus RUU tubuh agensi kawalan, perlindungan sempadan

Dewan Rakyat lulus RUU tubuh agensi kawalan, perlindungan sempadan

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga dikemukakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan akan mengambil alih fungsi agensi berkaitan di pintu masuk negara seperti imigresen dan kastam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-Undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 yang bertujuan menubuhkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (MCBA) diluluskan persidangan Dewan Rakyat.

Rang undang-undang (RUU) itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga dikemukakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah.

Terdahulu, semasa penggulungan perbahasan RUU, Shamsul Anuar berkata MCBA antara lain akan mengambil alih fungsi agensi berkaitan di pintu masuk negara seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam.

Namun, beliau berkata pengambilalihan itu tidak termasuk fungsi pentafsiran dan kutipan duti atau cukai di pintu masuk kekal seperti di bawah Jabatan Kastam, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan Kementerian Kesihatan.

“Peralihan fungsi ini juga tidak akan menjejaskan agensi atau kementerian berkaitan di luar kawasan pintu masuk yang turut memainkan peranan sebagai entiti semak dan imbang kepada kemasukan orang, barangan dan kenderaan ke negara ini yang telah melepasi kawalan MCBA di pintu masuk negara,” tambah beliau.

Menyentuh mengenai penjawatan MCBA, Shamsul Anuar berkata sebanyak 13,720 penjawatan melibatkan agensi berkaitan sedia ada dalam pengurusan kawalan pintu masuk negara dijangka terlibat dalam peralihan jawatan sebagai anggota dan pegawai MCBA.

Pada 9 Julai lepas, RUU itu dibacakan kali pertama antara lain bertujuan menjelaskan mengenai cadangan fungsi serta kuasa agensi itu berhubung dengan kawalan dan perlindungan sempadan selain mengadakan peruntukan bagi perkara berkaitan.

Ia juga mencadangkan jika sesuatu kesalahan dilakukan di bawah mana-mana undang-undang bertulis negeri Sabah atau Sarawak, penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan kesalahan itu akan dilaksanakan pihak berkuasa negeri masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.