
Takiyuddin dalam sidang media di Parlimen berkata wakil rakyat Melaka yang digantung keahlian Umno itu diterima menyertai PAS pada 10 Jun tahun lalu.
Katanya, Jailani tidak perlu mengosongkan kerusi kerana beliau diterima sebagai ahli PAS sebelum undang-undang antilompat parti diluluskan DUN Melaka.
“Sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) dan PAS, saya nak umum pada 10 Jun 2023, iaitu sebelum DUN Melaka buat pindaan (akta antilompat parti), Adun Rembia memohon untuk jadi ahli PAS dan diterima pada hari tersebut.
“Ini adalah masa yang tepat untuk mengumumkannya (kemasukan Jalani) memandang enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak dikosongkan kerusi di Dewan Rakyat,” katanya.
DUN Melaka meluluskan akta antilompat parti yang dinamakan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai tahun lalu.
Kemasukan Jailani dalam PAS menambah kerusi pembangkang di Melaka kepada tiga.
Ditanya mengapa baru sekarang PAS mengumumkan Jailani menyertai parti itu, Takiyuddin berkata itu strategi PAS.
Pada PRU14, Jailani bertanding di kerusi DUN Rembia atas tiket Pakatan Harapan (PH), namun beliau kembali ke pangkuan Umno pada 2021 selepas meninggalkan parti itu pada 2016.
Beliau bersama beberapa Adun PH ketika itu, membuat keputusan menyertai kerajaan Melaka pimpinan PN, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri diterajui PH tumbang.
Jailani kemudian menjadi wakil rakyat bebas selepas dilucutkan keahlian PKR sebelum mengumukan secara rasmi menyertai Umno.
Beliau kemudiannya mempertahankan kerusi Rembia atas tiket BN pada PRN 2021 selepas menewaskan empat pencabar dengan majoriti 860 undi.
Bagaimanapun, Jailani mengumumkan tidak menyokong pentadbiran Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh pada 2023 dan dilihat menghadiri program PN.
Kerana tindakan itu, Jailani diberi surat tunjuk sebab oleh Umno, sebelum akhirnya keahliannya dalam parti itu digantung.