
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM Dr Hirman Ismail, bilangan program sarjana yang jauh lebih tinggi menunjukkan dakwaan tersebut tidak benar.
“Kini, kita (KKM) mempunyai 120 program sarjana, berbanding hanya 14 bidang yang melibatkan 17 kelulusan dalam program laluan selari,” katanya semasa taklimat media mengenai pindaan dua rang undang-undang penting berkaitan KKM hari ini.
Hirman juga berkata, sebahagian besar daripada RM365.4 juta yang dibelanjakan oleh KKM dari 2019 hingga 2023 dikhususkan untuk program sarjana.
“Sebahagian besar, iaitu 96% bersamaan RM352.3 juta adalah untuk program sarjana di universiti awam, manakala selebihnya, 4% atau RM13 juta untuk program laluan selari,” katanya.
Bagi tahun ini, katanya, peruntukan ditambah kepada sebanyak RM142.4 juta untuk program sarjana dan RM10 juta untuk program laluan selari.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, terdapat dakwaan berlakunya berat sebelah meminggirkan program sarjana perubatan.
Dzulkefly membentangkan RUU Pindaan Akta Perubatan 1971 untuk bacaan kali pertama hari ini.
Pindaan itu dicadangkan susulan kontroversi mengenai keengganan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) mengiktiraf program laluan selari tertentu seperti untuk pakar bedah kardiotoraks yang layak daripada Royal College of Surgeons of Edinburgh, walaupun hospital kerajaan kekurangan pakar sedemikian.
MPM berdepan saman daripada empat pakar bedah kardiotoraks, enam pakar daripada USM dan seorang pakar neurologi berhubung penolakan permohonan mereka untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan.