Kerajaan komited kekal trajektori konsolidasi fiskal

Kerajaan komited kekal trajektori konsolidasi fiskal

Defisit fiskal pada 2024 diunjur terus berkurang kepada 4.3% KDNK, iaitu RM85.4 bilion, menurut Kementerian Kewangan.

Kementerian Kewangan berkata, peningkatan hutang kerajaan saban tahun adalah berikutan keperluan kerajaan membuat pinjaman bagi membiayai defisit fiskal, menampung perbelanjaan pembangunan. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan komited mengekalkan trajektori konsolidasi fiskal dengan defisit pada 2023 mencatat pengurangan kepada 5.0% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), iaitu sebanyak RM91.4 bilion, berbanding 5.6% pada 2022 (RM99.5 bilion), kata Kementerian Kewangan.

Menurut kementerian, defisit fiskal pada 2024 diunjur untuk terus berkurang kepada 4.3% KDNK, iaitu RM85.4 bilion.

“Usaha itu mampu menambah baik kedudukan kewangan awam, seterusnya mengurangkan beban hutang dalam jangka sederhana dan panjang,” kata kementerian dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Kewangan berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang meminta justifikasi kenaikan hutang kerajaan RM64 bilion dalam tempoh empat bulan bermula Januari 2024 hingga April 2024.

Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga April 2024, hutang kerajaan meningkat sebanyak RM50 bilion kepada RM1.22 trilion pada akhir April 2024, berbanding RM1.17 trilion pada akhir 2023.

“Bagi tempoh Januari hingga April 2024, kerajaan membuat pinjaman kasar berjumlah RM70.5 bilion meliputi terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia sebanyak RM30 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (RM34.5 bilion) dan bil Perbendaharaan (RM6 bilion).

“Terimaan pinjaman ini digunakan untuk membayar hutang yang matang sebanyak RM20.6 bilion dan baki RM49.9 bilion untuk menampung defisit dalam tempoh tersebut serta hutang yang akan matang,” kata kementerian.

Secara amnya, katanya, peningkatan hutang kerajaan saban tahun adalah berikutan keperluan kerajaan membuat pinjaman bagi membiayai defisit fiskal, iaitu untuk menampung perbelanjaan pembangunan (DE).

“Pinjaman ini akan meningkatkan paras hutang selagi mana kedudukan kewangan mengalami defisit,” kata kementerian.

“DE penting kerana ia merupakan pelaburan awam yang mempunyai kesan pengganda besar dan berimpak tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.