Kerajaan tunggu persetujuan Kuwait peroleh F/A-18 Legacy Hornet

Kerajaan tunggu persetujuan Kuwait peroleh F/A-18 Legacy Hornet

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata kerajaan berharap Kuwait boleh menimbang permintaan untuk mendapatkan jet tempur itu.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata Malaysia berminat mendapatkan pesawat F/A-18 Legacy Hornet dari Kuwait untuk meningkatkan pertahanan negara. (Gambar Bernama)
SERI ISKANDAR:
Kementerian Pertahanan kini hanya menunggu persetujuan kerajaan Kuwait berhubung perolehan pesawat F/A-18 Legacy Hornet untuk kegunaan tentera Malaysia.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata Malaysia sememangnya berminat mendapatkan pesawat berkenaan susulan perbincangan pihaknya dengan Kuwait dan penghantaran pasukan teknikal bagi membuat penilaian terhadap pesawat itu pada Jun lepas.

“Jadi, kita dalam proses dan kita hanya doa berharap kerajaan Kuwait boleh menimbang permintaan itu. Secara formal kita belum buat (perolehan), tetapi secara tidak formal mereka sudah tahu sebab kita hantar pasukan untuk membuat penilaian terhadap kapal terbang.

“ … dan didapati bahawa ia sesuai untuk kegunaan kita dan juga selari dengan perancangan kita untuk mempunyai aset-aset tentera udara yang boleh menampung operasi dan cabaran yang kita hadapi di dalam kawasan negara pada masa ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Parit.

Pada Jun lepas, pasukan teknikal tentera udara mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.

Dalam pada itu, Khaled turut menjelaskan pihaknya masih dalam perancangan untuk memperoleh aset-aset seperti helikopter yang baharu, namun ia bergantung pada kewangan negara.

“Kementerian Kewangan memang sedang menimbang perkara-perkara ini … dengan kawasan dan rantau ini yang dinamik dan konflik yang berlaku semakin meningkat, Malaysia perlu memastikan kesiapsiagaan aset.

“ … dan juga angkatan kita supaya boleh menjaga keamanan dan kedaulatan negara, bukan sahaja untuk menyerang, tetapi juga bagi menjaga kedaulatan dan pertahanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berhubung TUDM sebelum ini yang telah menyewa helikopter Leonardo AW 139 bagi menggantikan helikopter Sikorsky S-61 Nuri yang ditamatkan operasi, selain mengurangkan kebergantungan penggunaan helikopter EC 725AP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.