Kementerian Pertahanan nafi prestasi perolehan LCS rendah

Kementerian Pertahanan nafi prestasi perolehan LCS rendah

Menteri Khaled Nordin berkata Jabatan Audit Negara tidak merujuk kepada hasil tahun ini atau tahun lalu dalam laporannya.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pembinaan kapal LCS tetap diteruskan selepas kerajaan perpaduan mengambil alih pentadbiran.
PETALING JAYA:
Kementerian Pertahanan menafikan proses pelaksanaan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) berada pada tahap rendah seperti dilaporkan Jabatan Audit Negara.

Menterinya, Khaled Nordin, berkata laporan audit dikeluarkan tidak merujuk kepada hasil tahun ini atau tahun lalu tetapi beberapa tahun lalu melibatkan kapal yang tidak siap.

Katanya, pembinaan LCS tetap diteruskan selepas kerajaan perpaduan mengambil alih pentadbiran.

“Kapal yang pertama sudah pun diuji dan ini sangat penting serta signifikan disebabkan kita mahu menguji sama ada reka bentuk kapal ini betul atau sebaliknya.

“Jika kapal ini sudah direka bentuk serta diuji dan tidak mengalami masalah, kita akan melakukan kerja memasang semua peralatan di dalam kapal ini hingga akhir tahun ini.

“Kita menjangkakan kapal pertama akan siap pada 2026 dan kini proses pembinaan kapal LCS berjalan lancar mengikut jadual,” katanya selepas dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Machang 2024 semalam, menurut Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan, semakan audit mendapati prestasi perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hingga 31 Dis 2022 adalah rendah, berbanding sasaran 18 kapal ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12.

Jumlah perolehan itu jauh lebih rendah berikutan hanya empat kapal diterima atau 22.2% dengan sembilan lagi dalam proses pelaksanaan perolehan daripada keseluruhan enam LCS, 10 kapal misi pesisir (LMS) dan dua kapal sokongan pelbagai guna (MRSS).

Selain itu, Khaled berkata negara kini baharu sahaja melakukan perolehan tiga LMS dari Turki membabitkan penghantaran pada Oktober, November dan Disember 2027.

“Kini kita sudah ada lima LCS, tiga LMS dan akan memperoleh kapal lain dari semasa ke semasa di samping kapal sedia ada yang masih boleh dipakai,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perpaduan sudah menyelesaikan isu peruntukan dan akan memastikan pembinaan kapal itu berjalan dengan baik.

“Sekiranya kita gagal untuk menyiapkan atau membuat perolehan ke atas kapal-kapal baharu ia akan menjejaskan lagi kesiapsiagaan kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.